GAYA BELAJAR TOK KENALI
Tok Kenali mengamalkan banyak gaya belajar yang hebat. Ianya hanya boleh diikuti oleh orang yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam belajar.
Antara gaya belajar yang dipraktikkan adalah :
1) Kefahaman Al-Quran Adalah Kunci Segala Ilmu
Ketika kecil, Tok Kenali pernah menangis kerana tidak memahami al-quran. Beliau mengadu kepada datuknya untuk mengajarkan terjemahannya. Maka, diajarkanlah terjemahannya. Malah, Tok Kenali juga suka mengaji dan mengajar al-quran pada usia yang kecil lagi.
Di sini, Tok Kenali ingin memberitahu kita bahawa al-quran adalah sumber ilmu bagi orang Islam. Ajarkan al-quran dahulu sebelum ilmu-ilmu lain. Jangan, anaknya pandai ilmu-ilmu lain, tetapi untuk baca al-quran kepada ibu bapa yang meninggal dunia pun tidak pandai! ( gaya Ustaz Azhar 🙂 )
2) Mahir Bahasa Arab Mahir Ilmu Agama
Selain daripada al-quran, bahasa arab juga penting. Disebutkan dalam kisah Tok Kenali ini, ada seorang guru yang alim dalam pelbagai lapangan ilmu datang menziarahinya di Kelantan. Ketika bersua, ada beberapa soalan yang ditanya, antaranya : Bagaimana kamu menjadi sangat masyhur di sini ?
Jawab Tok Kenali : Kerana saya mahir bahasa arab!
Jika dirujuk kembali pesanan para ulama, jawapan Tok Kenali adalah tepat! Pengetahuan mendalam bahasa arab yang menjadikan kita semakin berilmu dalam ilmu agama yang lain. Kerana Islam diajar dan disebarkan dalam Bahasa Arab.
Oleh kerana itu, kepada ibu bapa yang bercita-cita melihat anaknya menjadi ustaz atau ustazah maka ajarkanlah mereka Bahasa Arab.
3) Faham Dan Hafaz Ilmu
Tok Kenali suka menghafal ilmu-ilmu yang dipelajari terutamanya syair-syair yang cantik dan bermanfaat. Ketika mengajar, beliau tidak membawa apa-apa kitab. Berbalik dengan zaman sekarang, guru bawa kitab, manakala anak murid tidak bawa kitab!
Tok Kenali menghafaz sesuatu ilmu itu setelah memahaminya dengan baik. Sememangnya penghafalan tanpa pemahaman tidak bermakna dan tidak berkekalan. Ini yang berlaku kepada pelajar agama pada hari ini yang menghafal untuk peperiksaan sahaja.
4) Buat Rujukan Sebelum Hadir Ke Kelas
Sebelum hadir ke kelas, Tok Kenali akan merujuk kepada beberapa kitab. Ini adalah persediaan beliau sebelum belajar sesuatu bab.
Oleh itu, semasa guru mengajar, beliau tidak membawa apa-apa kitab dan juga tidak menulis. Beliau hanya menutup mata dan mendengar dengan teliti. Hal ini kerana beberapa maklumat telah ada dalam ingatannya.
Teknik ini menunjukkan kesungguhan Tok Kenali belajar sesuatu ilmu. Beliau benar-benar memberikan komitmen yang penuh demi mendapatkan ilmu tersebut.
5) Dengar, Dengar Dan Dengar
Oleh kerana persediaan yang rapi telah dilakukan sebelum menghadiri sesuatu kelas, maka Tok Kenali tidak perlu lagi menulis atau membuat catatan dalam kelas. Segalanya sudah ada dalam mindanya.
Proses pembelajaran hanyalah proses untuk mematangkan idea tersebut dengan perbincangan di kalangan pelajar dengan guru.
Tok Kenali juga seorang yang kurang bertanya semasa belajar. Fokusnya adalah pada mendengar.
Ini salah satu teknik untuk fokus dalam belajar di dalam kelas iaitu tutup mata dan senyap. Ini yang diamalkan oleh Tok Kenali.
Tok Kenali menjadi seorang ulama bukan kerana keajaiban-keajaiban yang berlaku sebagaimana yang diwar-warkan oleh orang ramai. Tiada keajaiban yang lebih ajaib daripada istiqamah dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara.
Selamat beramal !